Tuesday, December 17, 2013

Dedikasi untuk Bahasa Tercinta

Aku berasa sedih apabila mengenangkan hal orang Melayu yang masih belum insaf mengenai kemunduran mereka, kerana mereka tidak mahu belajar bahasanya sendiri dan tidak mahu menyediakan tempat untuk belajar bahasanya. Adakah orang yang tiada belajar itu akan pandai sendiri? Bukankah segala bangsa di dunia ini belajar bahasanya sendiri? Kata mereka, "Apakah gunanya belajar, bukankah itu bahasa kita? Gunanya di dunia sahaja. Lebih baik bahasa Arab, berguna di dunia dan akhirat." Hal itu benar, tetapi bagaimana boleh mengetahui bahasa orang lain sekiranya belum mengetahui bahasa sendiri terlebih dahulu? Mereka berkata-kata, berjual-beli, berkirim dan membalas surat, semuanya dalam bahasa Melayu ataupun peranakan, yang menggunakan bahasa Arab sewaktu berniaga, membuat kira-kira dan berkirim serta membalas surat, melainkan dalam sembahyang dan berdoa sahaja.~Hikayat Abdullah karangan Abdullah bin Abdul Kadir, 1849.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Terkini aku membaca buku Hikayat Abdullah yang diadaptasi oleh Pak Hamzah Hamdani keluaran PTS Publication. Sungguh buku ini manikam dalam beribu yang dijumpai hasil pencarian Firdaus dalam Pesta Buku Terbesar Big Bad Wolf 2013 baru-baru ini. Tapi aku tak menjangka Iris juga turut berminat dengan hikayat ini. Disuruhnya aku baca setiap kali sebelum tidur. Sebaris-sebaris habis perkataan sampai habis seperenggan disuruh pula perenggan yang lain. Semalam, hikayat ini berjaya menarik perhatian Iesha pula. Bukan mudah membaca hikayat magnum opus dari orang bijak pandai. Susun irama, makna ayat, ikatan kata nak diterjemah pada anak-anak 5 dan 3 tahun bukan kerja mudah. Ini bukan bahasa Melayu layanan jejaring sosial. Ini bukan susun kata puisi-puisi picisan tertulis dari penyajak picisan yang dambakan "Like"! Ini bahasa Melayu agung!

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Tuan Raffles itu kulihat tubuhnya sederhana, tiada tinggi, tiada rendah, tiada gemuk dan tiada kurus. Dahinya luas tanda orang berhemah dan kepalanya buntar bincu ke depan tanda orang berakal. Rambutnya berwarna perang tanda orang berani, dan telinganya lebar tanda orang yang banyak mendengar. Bulu keningnya lebat, matanya sebelah kiri juling-juling air, hidungnya mancung dan pipinya cengkung sedikit. Bibirnya nipis tanda orang yang pandai berkata-kata, lidahnya manis mulutnya luas dan lehernya jinjang. Warna tubuhnya tiada putih bahana, dadanya bidang, pinggangnya ramping dan kakinya sederhana. Apabila berjalan, dia bongkok sedikit.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Cantik sungguh Munsyi Abdullah memperihalkan orang, sampai terkesan macam sungguh muncul di depan. Rasanya rata-rata orang kita termasuk aku cukup payah untuk memperihal sesuatu sampai begitu. Paling-paling muncul "Cool gila kot!", paling tidak "Macam comel je." Aku harap Allah bagi peluang pada anak-anak untuk menguasai bahasa sampai sedalam Munsyi Abdullah. Kalau diselami hikayat hidup Abdullah, proses mencari ilmu bukan perkara senang. Bermacam-macam hukuman dikenakan pada orang bodoh dan tak mahu belajar. Tapi hukuman yang paling diingat Iris dan Iesha ialah "...hukuman kepada budak-budak yang suka berbohong dan memaki orang. Caranya, digosokkan lada cina ke mulutnya."

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Sedangkan gajah berkaki empat yang besar itu kadang-kadang terserondong dan tersungkur jatuh, dan burung yang terbang di udara itu ada masanya gugur ke bumi, apalagi kita ini manusia yang bersifat lemah, bernyawa rapuh dan berbaka mati, sentiasa berubah-ubah dari semasa ke semasa. Kebesaran dan kemuliaan dunia ini berpindah-pindah kesudahannya, tidak kekal pada seseorang. Hanya nama yang baik ataupun jahat akan disebut orang akhirnya.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Berbaka mati, itulah kita. Semasa membaca perenggan ini pada anak-anak, kupesan agar jadi orang yang beramal baik, supaya dikenang orang sebagai orang baik. Pesanan ini lebih kepada diri sendiri, sebab banyak masanya terlupa yang aku ini bakanya mati. Satu lagi bila diamat-amati, orang-orang bijak pandai macam Munsyi Abdullah, orangnya sangat merendah diri. Mungkin dengan sifat rendah diri, Allah mudahkan jalan mencari ilmu dan jadi orang baik-baik. Seperti biografi Badiuzzaman Said Nursi yang menulis karangan terhebat Risalah i Nur, juga orangnya tunduk ke bumi. Semoga Allah anugerahkan kita dengan sifat itu. Amin!

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Apabila engkau mendapat wang, belikan emas, jualkan emas itu, belikan intan; jualkan intan itu, belikan manikam; jualkan manikam, belikan ilmu. Begitulah kemuliaan dan keteguhan ilmu kepada orang yang memperolehnya. Ia diibaratkan seperti tiang batu, berapa berat pun barang yang ditanggungnya, tetap ditahannya. Jika terlampau berat, akan remuk ataupun patah, tidak melentur ataupun condong seperti tiang kayu.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Carilah ilmu!

No comments: